Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kini disebut-sebut antara calon hangat untuk menggantikan tempat Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Norza sebelum ini mengumumkan mengundur diri selaku Presiden BAM selepas Sukan Olimpik Paris 2024 pada 15 Julai lalu kerana mahu memberi tumpuan terhadap tugas selaku Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).

Menurut laporan Berita Harian, selain Khairy, calon kedua yang menjadi sebutan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Perkara itu disuarakan secara peribadi oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohd Yunoos yang berharap tokoh berwibawa dapat mengisi kekosongan itu dalam misi meneruskan kecemerlangan badminton negara.

Antara syarat utama ialah tokoh berkenaan mampu mendapatkan dana selain memiliki minat mendalam terhadap sukan badminton.

“Tokoh yang berhajat juga perlu mempunyai kemampuan untuk mendampingi pemain dan jurulatih selain berupaya merangka program bagi meningkatkan sukan badminton ke tahap lebih baik.

“Secara peribadinya, menteri atau tidak… mesti ada lima faktor yang saya gariskan itu,” ujar Jahaberdeen.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj ‘memilih’ Khairy sebagai calon terbaik kerana mempunyai latar belakang dalam bidang sukan.

“Khairy dulu Menteri Belia dan Sukan, kalau jadi presiden (BAM) baguslah. Beliau tahu apa masalah. Beliau mempunyai latar belakang sebab pernah menjadi menteri (KBS) sebelum ini. Beliau mempunyai karisma dan keserasian dalam sukan,” jelasnya.

Untuk rekod, Norza mula mengambil alih tampuk nombor satu BAM pada 2017 bagi menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.